
Maklumat Anugerah MyPesara

objektif
Penghargaan kepada Sumbangan Sepanjang Hayat
Untuk mengiktiraf pesara yang telah memberi impak besar dalam profesion, komuniti atau negara, serta meraikan usaha dan jasa murni mereka.
Mempromosikan Kepelbagaian Pencapaian Pesara
Untuk mengiktiraf pelbagai pencapaian dalam kalangan pesara yang merangkumi bidang keusahawanan, khidmat komuniti dan juga pendidikan.
Memberi Inspirasi kepada Generasi Muda
Untuk menampilkan pesara sebagai sumber inspirasi dan contoh untuk diteladani kepada generasi muda dalam menghargai nilai kerja keras, kecekalan dan peranan penting dalam menyumbang secara positif terhadap masyarakat.
Memperkukuh Sokongan terhadap Inisiatif Pesara
Untuk memperluas kesedaran dan sokongan terhadap program dan inisiatif yang dipimpin oleh pesara, serta menggalakkan budaya yang menghargai dan memperkasakan sumbangan berterusan mereka.
Kategori Anugerah

Pendidikan
Anugerah ini diberikan kepada pesara yang telah terlibat secara aktif dalam mempertingkatkan proses pembelajaran dan membuka jalan untuk akses pendidikan kepada golongan yang terpinggir.

SOSIAL Dan KHIDMAT MASYARAKAT
Anugerah ini diberikan kepada pesara yang telah menyumbang dalam penyediaan bantuan kepada komuniti yang kekurangan sumber disamping meningkatkan kesedaran sosial di platform negeri hingga antarabangsa.

KEUSAHAWANAN
Anugerah ini diberikan kepada pesara yang telah mempamerkan kemahiran keusahawanan yang cemerlang melalui perniagaan yang mampan dalam pelbagai sektor seperti pertanian, perkhidmatan, pembuatan, makanan & minuman, dan lain-lain lagi dimana peluang pekerjaan diwujudkan dan turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi.
Sumbangan dan impak positif yang diberikan oleh calon kepada masyarakat mestilah selaras dengan kategori dan kriteria pemilihan yang telah ditetapkan.
Pihak Penganjur berhak memilih dan menganugerahkan calon dalam kategori berbeza daripada kategori yang telah dikemukakan, jika ia dianggap lebih sesuai mengikut budi bicara penganjur.
Kelayakan
Anugerah MyPesara adalah merupakan anugerah pertama seumpamanya yang diwujudkan bagi mengiktiraf dan menghargai pesara sektor awam yang telah memberikan impak positif dalam kehidupan mereka sendiri serta kehidupan orang lain dalam bidang Pendidikan, Sosial dan Khidmat Masyarakat, dan Keusahawanan.
Tujuan utama Anugerah MyPesara adalah untuk mengenal pasti individu cemerlang yang telah memainkan peranan bermakna dalam tempoh persaraan mereka, serta memberi inspirasi dan ilham kepada warga pesara lain dalam mencabar stereotaip persaraan dan menjadi pendukung kepada penuaan yang produktif.
- Warganegara Malaysia berumur 55 tahun dan ke atas.
- Bekas penjawat awam yang telah bersara daripada perkhidmatan kerajaan persekutuan, negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan, tidak termasuk pesara Angkatan Tentera Malaysia (Veteran ATM) yang mana peruntukan Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662) tidak terpakai kepada mereka. Pesara mestilah masih menerima pencen bulanan daripada Kerajaan.
- Seorang individu yang aktif menyumbang kepada masyarakat dan telah memberikan impak yang signifikan serta menunjukkan amalan yang berjaya dalam bidang masing-masing selepas bersara, sekurang-kurangnya untuk tempoh selama 5 tahun.
- Calon yang TIDAK PERNAH dicalonkan menerima atau memenangi sebarang anugerah, pengiktirafan, hadiah atau penghormatan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa dalam tempoh lima tahun terkini (2020-2024).
- Calon yang TIDAK PERNAH menerima atau memenangi anugerah utama atau pemenang kategori bagi Anugerah MyPesara atau Anugerah Ikon Pesara anjuran KWAP pada mana-mana tahun bagi semua kategori.
- Penyertaan melalui pencalonan sendiri atau pencalonan oleh pihak ketiga adalah diterima.
- Semua pencalonan mestilah disertakan dengan dokumen sokongan yang relevan sebagai bukti.
Penyertaan Pencalonan
- Penyertaan adalah percuma dan terbuka secara eksklusif kepada pesara Kerajaan Malaysia seperti yang dinyatakan di Kriteria Pencalonan sahaja.
- Pencalon dan calon bertanggungjawab untuk memberikan maklumat yang benar, tepat, terkini dan lengkap seperti yang diminta dalam borang pencalonan.
- Sertakan dokumen sokongan seperti artikel yang diterbitkan, siaran akhbar, salinan sijil penglibatan, keahlian atau pencapaian untuk tujuan pengesahan dan semakan.
- Bagi kategori Keusahawanan, syarikat calon hendaklah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan dokumen berkaitan seperti sijil pendaftaran SSM dan dokumen kewangan perlu dikemukakan.
- Bagi kategori Sosial dan Khidmat Masyarakat, organisasi calon hendaklah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan dokumen sokongan yang berkaitan perlu dikemukakan.
- Pencalon boleh mencalonkan seberapa ramai pesara yang layak bersama bukti-bukti pencapaian yang mencukupi. Namun, setiap pesara hanya layak untuk dicalonkan untuk satu kategori sahaja.
- Dengan penghantaran borang pencalonan, pencalon dan calon akan dianggap sebagai telah membaca, memahami, menerima dan bersetuju dengan terma dan syarat Anugerah.
- Penganjur berhak untuk menolak atau tidak menerima pencalonan untuk sebarang sebab, termasuk borang pencalonan yang tidak lengkap atau mana-mana terma dan syarat yang tidak dipenuhi atau dipatuhi oleh pencalon dan calon.
Penghantaran Borang Pencalonan
- Borang pencalonan serta dokumen sokongan yang lengkap hendaklah dihantar melalui:
- i)Anugerah MyPesara 2025 Google Form; atau
- ii)e-mel ke anugerahmypesara@kwap.gov.my; atau
- iii)pos ke Pejabat KWAP di Kuala Lumpur atau Cyberjaya; atau
- iv)serahan tangan ke Pejabat KWAP di Kuala Lumpur atau Cyberjaya, atau semasa program Jelajah MyPesara KWAP berlangsung.
Pejabat Kuala Lumpur
Jawatankuasa Anugerah MyPesara 2025,
Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan),
Aras 36,
Menara Integra, The Intermark 348,
Jalan Tun Razak
50400 Kuala LumpurAtau;
Pejabat Cyberjaya
Jawatankuasa Anugerah MyPesara 2025,
Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan),
Aras 11, Skytech Tower 2
MKN Embassy Techzone
Jalan Teknokrat 2, Cyber 4
63000 Cyberjaya, Selangor - Jika borang pencalonan dihantar melalui e-mel, pastikan ruangan ”Subjek” diisi dengan anda meletakkan tajuk ‘Anugerah MyPesara 2025’.
- Jika borang pencalonan dihantar secara pos, pastikan tajuk ‘Anugerah MyPesara 2025’ dinyatakan di bahagian atas kiri sampul surat.
- Borang yang lengkap hendaklah dihantar kepada KWAP selewat-lewatnya pada atau sebelum 29 Ogos 2025.
- Sebarang perkara berkaitan pencalonan Anugerah ini, pegawai KWAP akan menghubungi anda melalui talian 03-2174 7975 / 03-2174 8622 atau e-mel rasmi
anugerahmypesara@kwap.gov.my. - Dengan menyerahkan borang pencalonan ini, saya/kami mengakui bahawa saya/kami telah membaca, memahami dan bersetuju dengan Notis Privasi Data Peribadi KWAP yang boleh didapati di https://www.kwap.gov.my/pdp-notice/ berkenaan dengan pemprosesan data peribadi oleh KWAP. Saya/kami mengesahkan bahawa semua data peribadi yang diberikan kepada KWAP telah disediakan selaras dengan undang-undang yang berkenaan dan, jika berkaitan,persetujuan daripada individu yang data peribadinya diberikan kepada KWAP telah diperoleh dengan sewajarnya.
Juri

Encik Mohd Shahrim Hussin
Pengarah,
Bahagian Pencen,
Jabatan Perkhidmatan Awam
(Ketua Juri)

Datuk Hajah Nik Amlizan Mohamed
Ketua Pegawai Eksekutif,
Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)

Prof. Madya Dr. Rahimah Ibrahim
Pengarah
MyAgeing

Puan Hezleen Hassan
Pengarah Bahagian Warga Emas
Jabatan Kebajikan Masyarakat
Pemenang Terdahulu
hadiah utama
2019

Puan Sariah Amirin
Beliau memenangi anugerah di bawah kategori Pendidikan berdasarkan pencapaian dan sumbangan beliau kepada individu-individu yang mengidap masalah pembelajaran iaitu disleksia. Beliau merupakan Pengasas dan Presiden Persatuan Dyslexia Malaysia.
2023

Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamaruddin
Penerima Anugerah Utama dan Anugerah Kategori Pendidikan bagi Anugerah MyPesara 2023 ini amat gigih dalam memartabatkan pendidikan, baik di dalam atau di luar negara. Selain daripada penyelidikan beliau yang telah berjaya menghasilkan sebanyak 139 jurnal yang berimpak sejak 2018, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamaruddin juga terlibat dalam penghasilan lebih 206 kertas kerja persidangan. Malah, beliau juga aktif dalam usaha membanteras dadah melalui Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).
2024

Encik Mazlan Bin Hashim
Encik Mazlan berjaya merangkul Anugerah Utama dan Anugerah bagi Kategori Sosial dan Khidmat Masyarakat di Anugerah MyPesara 2024. Beliau adalah seorang figura yang amat disegani oleh masyarakat sekeliling dan terkenal dengan dedikasinya terhadap pemerkasaan komuniti serta impak sosial. Beliau terus aktif melibatkan diri dalam persatuan silat dan seni bela diri peringkat negeri Pahang. Selain itu, beliau juga dikurniakan pelbagai anugerah sebagai pengiktirafan atas usaha beliau dalam membangunkan komuniti, antaranya Tokoh Pembantu Tadbir Negeri Pahang, Peringkat Negeri Pahang (2020) dan juga Karyawan Jejak Warisan, Peringkat Negeri Pahang.





